Cerpen: Rindu Mama 1

30/8/13


Assalamualaikum...


Rasa macam dah lama gila tak menulis cerpen. Semalam godek-godek documents tengok tengok ada cerpen yang terbengkalai maka, aku sambung menulis semalam sampai pukul 3 pagi lepastu dengar macam-macam terus tutup laptop. So, aku sambung tulis hari ni dan dah pun siap... Tapi di sini aku tak bolehlah letak full sebab panjang kan. Jadi, aku bahagikanlah kepada parts. Okey?


Okey, sebelum tu. Aku nak cerita sikit lah pasal cerpen ni. Aku pun tak tahu kenapa aku suka sangat tulis pasal anak yang tak dapat kasih sayang mak ni. Jangan salah sangka. Aku dapat kasih sayang parents aku okey? Hahaha. Apa sahaja yang aku tulis di cerpen tak ada kena mengena LANGSUNG dengan aku. Jadi jangan nak kaitkan aku dengan cerpen fiksyen aku ni. Heeee.. Mungkin lepas ni aku akan tulis pasal mak yang tak disayangi anak pulak ke kan? And one more thing, aku tak suka tulis cerpen cinta. Novel tak apa kot... :D




“Mama, sekolah adik ada buat lawatan ke Taiping minggu depan. Boleh tak mama kalau adik nak ikut?” soal Amani kepada Ruzita yang sedang leka menonton televisyen itu.

Ruzita langsung tidak mengendahkan anaknya yang sedang menunggu jawapan darinya itu. Amani menggoyang-goyangkan lengan Ruzita beberapa kali.

“Kau ni dah kenapa? Kau pergi ajelah mana yang kau nak pergi. Aku tak kisah lah kau nak ke benua mana pun. Lebih elok kau pergi terus tak payah nak balik rumah ni lagi lah,” marah Ruzita. Geram sungguh dia apabila ada yang menganggu konsentrasinya.

Amani menundukkan wajahnya. Sedih rasa hati apabila ibu sendiri berkata begitu. Pernah dia terfikir adakah dia anak yang hanya dipungut sahaja. Walaupun dia baru berusia 11 tahun, namun dia juga ada hati dan perasaan.

Amani mengangkat kembali kepalanya setelah dia teringatkan sesuatu. “Tapi ma, lawatan tu kena bayar,” ujar Amani takut-takut.

Ruzita pantas menoleh kepada Amani dengan mata yang dijegilkan. “Eh, kau yang nak pergi pandailah kau kutip duit kat mana-mana. Kau ingat aku ni bank kau ke? Dah, sekarang kau blah dari sini. Aku meluat nak menengok muka kau yang asyik nak ganggu aku aje dari tadi.”

Amani turun dari sofa dengan kesedihan dan berlalu masuk ke dalam bilik. Setibanya dia di dalam bilik, kelihatan Sofea sedang memandangnya dengan pandangan simpati.

Amani segera mendekati kakaknya itu. Badan kakaknya didakap sayu. “Kesian adik kakak ni. Tak apa, kena bayar berapa lawatan tu? Kakak ada duit simpanan sikit, kakak bagi pada adik ya?” ujar Sofea penuh kasih. Kepala adiknya diusap lembut.

Amani pantas menggeleng-geleng. “Tak nak. Nanti mama marah kalau kakak bagi duit pada adik. Lagipun, adik tak nak susahkan sesiapa. Lawatan tu kalau tak pergi pun tak apa. Bukan wajib pun, adik aje yang mengada-ngada nak pergi.”

Sofea melepaskan nafas berat. Dia memang sedia maklum yang mamanya pasti akan memarahinya jika memberi wang kepada Amani, tetapi kebahagiaan adiknya adalah amanah arwah abah. Maka, dia mesti melaksanakannya.

“Tak apalah adik. Kalau kita senyap-senyap aje mesti mama tak tahu. Kalau mama tak tahu, dia tak marah,” ujar Sofea lembut. Badan adiknya ditarik menghadapnya.

Air mata mula merembes di pipi gebu Amani. Sedihnya dia. Dia tidak mahu menyusahkan anak sulung kesayangan mamanya itu.

Amani menggeleng-geleng kecil. Tidak mengapalah jika dia tidak boleh pergi ke lawatan itu sekalipun kerana dia tidak sanggup menanggung kebencian Ruzita terhadapnya.

Sofea faham yang Amani memang teringin untuk berjalan-jalan dan melawat tempat-tempat lain. Sudah lama mereka tidak makan angin ke mana-mana semenjak pemergian arwah abah tiga tahun yang lalu.

“Kakak bagi duit, adik pergi ya. Abah mesti sedih kalau tengok adik sedih tak dapat pergi lawatan tu. Adik tak kesian ke kalau abah sedih dekat sana? Adik sayang abah kan? Adik dah tahu kan yang abah tak boleh tengok kalau adik sedih,” pujuk Sofea.

Air mata semakin laju membasahi pipi Amani. Rindunya dia dengan abahnya. Baginya, abah adalah segala-galanya. Kebencian mama sejak dulu ditampung dengan kasih sayang abah maka hidupnya dahulu amat bahagia.

“Adik pergi ya? Kakak tak nak tengok adik kecewa tak dapat pergi. Kalau mama tanya adik dapat duit dari mana, cakap duit simpanan adik tau?” pujuk Sofea lagi.

Amani akhirnya mengangguk apabila teringat akan abahnya. Dia tahu abah terlalu menyayanginya sehingga tidak boleh melihat kesedihannya.

“ADIK, kalau abah tak ada adik jaga diri tau. Jangan lah berduka hati selalu. Walaupun mungkin apabila abah dah tak ada, mama akan lebih membencimu ingatlah yang abah masih menyayangimu,” ujar Mahmud.

“Abah nak pergi mana? Jangan lah tinggal adik. Nanti dah tak ada orang sayang adik. Abah nak pergi mana? Cakap la,” tanya Amani. Wajah abahnya dipandangan sayu dengan mata yang mula menitiskan air setitis demi setitis.

Mahmud hanya tersenyum kecil. Dia juga tidak sanggup untuk meninggalkan anak kecilnya itu. Bagaimanalah nasib Amani jika ditinggalkan dalam waktu terdekat ini. Mahu diharapkan isterinya, mati hidup balik pun belum tentu dia dapat menjaga Amani dengan sempurna.

Pipi Amani disentuh. “Abah bukan nak pergi mana pun. Abah kata kalau aje. Tapi adik, abah sayang adik sangat-sangat. Abah tak nak tinggal adik pun,” pujuk Mahmud. Dahi Amani dicium.

Amani terus memeluk abahnya yang tanpa pengetahuannya sedang menghidap penyakit. Air mata mula mengalir perlahan di pipi Mahmud. Walau bagaimanapun dia mencuba untuk tidak menangis, dia tidak betah apabila berkaitan dengan anak bongsunya itu.

Amani terjaga dari tidurnya. Bunyi kilat berdentum di luar mengejutkannya. Dia menoleh ke arah tingkap yang kadangkala terlihat pancaran kilat di luar sana. Amani mengangkat dan memeluk lututnya erat.

Mimpi tentang abahnya itu adalah suatu masa silam yang ditinggalkan beberapa tahun lalu. “Abah, adik rindu abah. Kenapa abah kata sayang adik kalau sebenarnya abah betul-betul nak tinggalkan adik,” rintih Amani perlahan.

Sofea yang sedang nyenyak tidur di sebelahnya itu langsung tidak terjaga dek rintihan Amani.

Amani akhirnya tertidur setelah terlalu lama menangis untuk abahnya. Tidurlah wahai anak yang suci. Tidurlah. Biar hilang semua beban yang sedang kamu tanggung untuk seketika.


TIBA sudah minggu yang ditunggu-tunggu oleh pelajar-pelajar yang menyertai lawatan ke Taiping. Pelajar yang terlibat sudah menunggu di hadapan pagar sekolah sementara bas sampai. Amani juga turut berada di dalam himpunan pelajar itu.

Sofea memegang tangan Amani. Akhirnya dapat juga adiknya itu mengikuti rombongan sekolah.

“Adik jaga diri elok-elok tau. Jangan buat bukan-bukan pulak. Kakak yakin dengan adik kakak ni. Kalau ada orang tak kenal panggil ke nak bagi apa-apa ke jangan layan tau. Sarah, tengok-tengokkan Amani tau,” pesan Sofea panjang lebar dan sempat berpesan sekali kepada kawan baik Amani.

“Kakak janganlah risau. Adik tak akan buat benda pelik-pelik. Adik akan sentiasa ikut cikgu,” jawab Amani. Sofea terus memeluk adiknya. Berat juga hatinya untuk melepaskan adiknya itu pergi jauh walaupun Amani akan pulang ke situ semula pada keesokan harinya.

Bas sudah tiba di hadapan pagar sekolah Amani. Makin berat rasa hati Sofea. Takut jika adiknya terapa-apa. Dia sangat sayangkan Amani bagaikan nyawanya sendiri. Jika terjadi apa-apa kepada Amani dialah yang terasa bertanggungjawab.

***

Karya ku tak sehebat mana. Hanya suka-suka. Itulah dia Syok Sendiri. Hehehe. :D

5 comments:

  1. hebatlah =) tersntuh sy bca..terbayang mcm sy ayah Amani pula..kecian je..nnti kalau ada smbungan bgthu la..nk thu juga hujung cerita ni mcm mn.. =) terbaikkk..

    ReplyDelete
  2. kesian amani mak dia buat cmtu..nasib baik kakak dy penyayang je..kalau x konfem lg sedih kan >.<

    ReplyDelete
  3. Wah.. ada bakat menulis ni.. :-)

    ReplyDelete
  4. sedihnya Syara baca dah nangis dah ni haha btw,hebat la akak ni ^^ best sngt!

    ReplyDelete

❤Tulis apa sahaja yang anda nak tulis. Hak menulis hak anda. Tapi andai ada yang tidak berkenan dek hati saya, akan didelete komennya ya... Setiap komen pasti akan saya baca dan maafkan saya kalau ada yang tak terbalas.. Jangan malu-malu untuk kongsikan pendapat anda ya, sayangs!❤