Pakcik masjid naik angin dengan kami!

 16/11/2020



Gambar sekadar hiasan


Assalamualaikum dan hi loves~!


Pernah tak hampa dimarah dan dituduh secara melulu oleh orang yang hampa tak kenal langsung pun? Aku pun sebelum ni tak pernah. Tapi, hari ini nak dijadikan cerita, aku dan kawan aku dimarah oleh seorang pakcik di sebuah masjid secara tiba-tiba!


Jadi, jom aku ceritakan apa yang berlaku.


Lepas shoot gambar untuk assignment, aku dan seorang kawan aku ni pergilah singgah satu masjid untuk solat Zohor. Lepas ambil wuduk apa semua, kami pun masuklah masjid macam biasa dan straight away jalan masuk bahagian perempuan. Bahagian muslimah tu macam di bahagian luar masjid, maksudnya macam luar daripada bahagian yang berkarpet tu. Lelaki sahaja yang boleh masuk bahagian berkarpet tu. Lepas tu macam biasa, ambil sejadah. Sejadah tu ada banyak-banyak la dekat tepi dinding tu. Aku pun ambil la satu sejadah dan kongsi dengan kawan aku. Tapi ingat! Aku tak adalah solat rapat-rapat dengan kawan aku ni, ada la penjarakan juga di situ.


Tiba-tiba...


Waktu tengah solat, aku dengar ada suara pakcik ni dari arah belakang macam marah-marah. Mula-mula aku ingat dia marah sebab kami kongsi sejadah. Maklumlah sekarang kan kena patuh SOP. Jadi, aku pun sikit-sikit perlahan-perlahan ke kanan jauhkan lagi diri aku daripada kawan aku yang tengah solat dekat kiri aku.


Lepas habis solat, masa kami nak buka telekung apa semua, pakcik tu datang dekat kami. Dia terus tuduh tuduh kami secara melulu tanpa ada bukti, kata kami ceroboh ruang lelaki untuk ambil sejadah tu! Dia kata tu sejadah dia dan dia tuduh kami pergi ambil sejadah tu kat dalam! Hampa rasa? Macam yang aku kata awal tadi, kami lepas ambil wuduk terus masuk bahagian perempuan tu. Tak ada masa dan tak ada kerja pula kami nak masuk bahagian lelaki dan ambil sejadah pakcik tu. Satu lagi, sejadah tu memang dah ada dekat bahagian perempuan tu dari mula lagi! Siap berlipat dan ada dekat atas sejadah-sejadah yang lain tu. Kalau benda dah ada dekat situ, mestilah kita tak fikir apa-apa dan terus ambil kan?


Lepastu, yang lagi best, lepas dia mintak balik sejadah tu, dia siap ketuk-ketuk sejadah tu dekat pembahagi ruang solat wanita tu sambil menjerit. Dia macam "Ei! Ei!", sambil ketuk sejadah tu. Sebelum tu aku macam ada dengar dia kata something macam nanti ramai orang guna sejadah dia tu. Mungkin maksud dia, dia takut lah kot kalau ada Covid ka apa melekat dekat situ kan. Lepastu, dia masuk dalam dekat bahagian berkarpet tu dan tutup semua pintu-pintu grille kat situ sambil hempas hempas dan membebel kata kami ceroboh ruang tu. Aku rasa pakcik ni mungkin AJK masjid something macam tu lah,


Ya Allah, hai... Aku waktu tu macam terkejut dan tergamam. Macam 'apa ni?' Nasib kami tak baik pula, tak ada jemaah lain pulak waktu tu. Huhu.. Kalaulah dia takutkan Covid tu bagus la sebab berjaga-jaga kan, tapi yang aku tak tahan tu dia boleh jerit-jerit kat situ dan terus tuduh kami ceroboh ruang lelaki. Tak segan ke kami kalau nak masuk ruang lelaki tu semata-mata nak ambil sejadah dia? Lagi satu, siapa la nak sangka, sejadah yang ada tepi dinding dan siap berlipat elok tu dia punya? Cubalah tanya dulu elok-elok dan bagitahu itu sejadah dia. Ini tidak, terus marah-marah dan tinggikan suara. Nasib lah dia tak naik tangan kat kami, kalau tidak jadi kes pula!


Bila aku jumpa pakcik ni, aku jadi teringat dengan satu cerita haritu. Hampa tau dak yang ada seorang pakcik pergi tumbuk ataupun lempang jemaah lain hanya disebabkan sejadah yang jemaah tu bawa terkena belakang pakcik tu? Aduhai.. Aku jadi macam terfikir, mereka ni orang masjid. Kerap pergi masjid. Patutnya hormatlah rumah Allah. Perkara-perkara macam ni tak sepatutnya berlaku dalam masjid. Macam kawan aku kata, kalaulah orang yang kena marah dengan pakcik tadi ni seorang yang baru nak berjinak-jinak solat dan datang masjid, mesti orang tu dah tak nak datang masjid lagi lepas ni.


Kesimpulannya, walau siapa pun kita, kawal dan jagalah diri kita. Kalau kita jenis baran sekalipun, cubalah kawal. Janganlah disebabkan kita jenis baran kita terus nak sembur orang melulu. Tambah-tambah bila kita ni ada dekat rumah Allah yang sepatutnya jiwa tu tenang dan tiada prasangka buruk terhadap orang lain. Sebelum kita nak tuduh orang lain apa-apa sekalipun, tanyalah dengan baik untuk dapatkan kepastian. Carilah bukti dulu. Tak pasal-pasal jatuh fitnah tau kalau tak betul! Siapa nak menjawab tu?


Jadi, itulah dia kisah aku hari ni yang sangat mengejutkan aku. Hampa pernah tak lalui pengalaman macam aku ni? Kalau ada, jom kongsi dengan aku! XD


Alergi Bahasa Inggeris

2/7/2020




Assalamualaikum dan hai loves~!


Hampa perasan tak sejak dua menjak ni di media sosial, kalau ada sesiapa saja yang cuba untuk bertutur ataupun menulis dalam bahasa Inggeris, mesti akan ada orang-orang yang memerli. "Eh, tak faham lah cakap English. Cakap Melayu lah!" "Orang Malaysia kan? Cakap Melayu la." "Nak acah pandai la tu speaking." Ataupun benda ni dah lama berlaku ya? Tapi aku rasa benda ni macam semakin berleluasa la sekarang.


Aku tak pasti la sama ada orang-orang ni pun sebenarnya nak menyindir orang-orang yang seolah-olah alergik dengan bahasa Inggeris ataupun memang mereka ni pun tergolong dalam kategori orang yang alergik bahasa Inggeris atau nak dapatkan 'like' semata-mata atau macam mana ke kan. Banyak pulak 'atau' aku kan. Tapi aku agak 'irritated' ataupun 'annoyed' dengan benda ni tau.


Aku faham, betul kita orang Malaysia. Betul, kita orang Melayu. Betul, kita ada bahasa sendiri. Tetapi aku tak rasa bertutur ataupun menulis dalam bahasa Inggeris tu sesuatu yang salah. Lagipun, kita kan dah belajar English dari kita kecik lagi. Belajar bahasa asing tu satu plus point untuk kita kan? Nanti, bila nak bekerja, kalau kita fasih banyak bahasa, itu akan jadikan kita lebih daripada orang lain. Satu lagi, kalau kita belajar banyak bahasa, kita boleh go international tau! Macam Yuna, Shila Amzah dan ramai lagi kan? Tak ke seronok tu kalau hampa ada cita-cita nak mengembangkan sayap kat luar negara?


Banyak manfaatnya kalau kita mahir sesuatu bahasa asing. Kalau English, banyak tau perkara-perkara baru yang kita boleh belajar bila kita mahir English. Contohnya la kan dari pengalaman aku, kalau kita masuk uni, mesti kita faham, ada banyak maklumat yang bila kita cari dalam internet ni guna Bahasa Melayu, kita tak dapat maklumat yang kita nak. Tapi, kalau kita cari maklumat tu dalam English, InsyaAllah akan ada banyak ja yang kita akan jumpa. Jadi, cuba bayangkan kalau kita tak tahu atau tak nak belajar English, mesti ada banyak benda lagi yang kita tak dapat nak belajar sebab kita tak dapat nak capai pun info tu. Alaa, tak payah cakap pasal masuk uni pun lah, kalau nak cari pasal benda-benda lain pun, macam review gajet ke atau nak repair apa-apa ke kan, aku rasa banyak yang dikongsi guna bahasa Inggeris kan. Jadi, English tu penting la kan?


Menjadi masalah belajar Bahasa Inggeris apabila....

  • Terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris sampai rasa Bahasa Melayu adalah bahasa yang mundur.
  • Amalkan Bahasa Inggeris sampai tak tahu cakap bahasa Melayu langsung.
  • Anggap orang lain yang cakap Melayu sebagai kolot.
  • Berhasrat untuk hapuskan segalanya yang berkaitan dengan Melayu.



Maka, selagi tak ada ciri-ciri seperti di atas dalam diri orang-orang yang guna English dalam kehidupan depa tu, aku rasa kita tak perlu la nak kecam ataupun nak perli. Tak baik tau. Kadang-kadang ada orang yang sampai rasa malu dan rasa tak nak dah cakap English sebab asyik kena kata macam-macam.  Bagi aku, selagi kita rasa bangga dengan bahasa kita sendiri dan tak terlalu memuja bahasa asing, tak menjadi satu kesalahan pun untuk belajar bahasa asing terutamanya English.


Sekian pendapat aku. Kalau hampa ada pandangan mengenai perkara ni, jom la kongsikan dengan aku di bawah. Ataupun, hampa pun tergolong dalam golongan alergi bahasa Inggeris tu? Hehehe...


Jumpa lagi loves!


*Maaf ya kalau tak selesa dengan bahasa rojak aku dalam ni. Aku menulis dalam blog ni macam bahasa cakap mulut ja.. Bahasa basahan. ;)


Adakah Berkahwin Itu Sekadar Duduk Sebilik, Tidur Sebantal?

3/6/2020




Assalamualaikum dan hai loves~!


Apa khabar semua? Sihatkah musim-musim PKP ni? Dah lama betul aku tak update blog. Jadi, sedikit perkongsian tentang diri aku ialah aku sudah bergelar pelajar jurusan Komunikasi Universiti Sains Malaysia. Alhamdulillah, aku lepas temuduga jurusan Komunikasi yang aku pernah kongsikan tahun lalu. Dah masuk Sem kedua barulah dapat kongsikan di sini ya.. Huhu.. Perkembangan hampa macam mana pula?


Apa-apa pun jom kita bercerita sikit harini tentang topik yang kebanyakan orang pasti suka iaitu KAHWIN!


Bila sebut pasal kahwin, mesti terbayang di fikiran untuk hidup bersama orang yang kita cintai, akan ada anak-anak yang comel dan bahagia selama-lamanya kan? Persis kisah puteri-puteri Disney. Tetapi, adakah realitinya berkahwin adalah seindah itu? Adakah perkahwinan atas dasar cinta semata-mata dapat menjamin kebahagiaan buat selamanya?


Kadang orang kata, cinta itu buta. Mungkin benar. Tetapi mari kita berpijak di dunia realiti kawan-kawan. Tidak dapat tidak kita tak boleh menafikan yang kita tak akan mampu hidup di dunia realiti masa ini dengan berbekalkan cinta semata-mata.

Fikirkan sejenak....

Kalau tak ada duit, nak makan apa? Cinta?

Kalau peribadi masih buruk, bahagia sampai bila? Cinta?

Kalau semuanya masih ditanggung ibu bapa, layakkah bergelar pasangan sejati hingga syurga? Cinta?

Kalau tanggungjawab sendiri masih tak mengerti, kita ini pasangan jenis apa? Cinta?



Kadang-kadang aku sendiri takut tengok orang-orang yang aku perhatikan seolah-olah sekadar nak ikut trend kahwin muda, kahwin awal. Kata orang, hindar maksiat. Benar... Tetapi kadang-kadang aku terfikir juga kalau peribadi atau pe'el kita pun tak semenggah, bukankah perkahwinan yang dibina itu juga boleh jadi lubuk dosa?


Aku tidaklah menolak kahwin muda atau apa. Yang menjadi persoalan aku bila aku tengok ada saja orang-orang muda yang seolah-olah lupa bahawa perkahwinan tu suatu TANGGUNGJAWAB. Hakikat itu tak boleh lupa. Berkahwin bukan semata-mata sebab rasa cinta dan dah tak sabar nak tinggal sebilik dan tidur sebantal.


 Kalau diri sendiri pun semuanya ibu bapa dan keluarga yang tanggungkan dan tak ada langsung usaha sendiri untuk menyara hidup sendiri, layakkah berkahwin? Kalau cerita tentang 'boleh berkahwin', semua orang pun boleh kahwin. Remaja 16 tahun pun boleh berkahwin. Tetapi bagi aku tak sama dengan 'layak berkahwin'. Bagi aku juga, seandainya kita betul-betul dah bersedia, matang, peribadi baik, boleh menjamin hidup sendiri dan pasangan serta yang paling penting ada usaha sendiri dan tak menyusahkan sesiapa terutamanya ibu bapa, GO AHEAD. Tetapi seandainya belum lagi, fikirkanlah dahulu.


Bila bercakap soal apa pun, berpijaklah pada realiti. Dunia hari ini tak mudah. Kahwin bukan sekadar kahwin. Aku ulang sekali lagi, kahwin adalah sebuah tanggungjawab. Pesanan untuk diri aku juga. Jangan ambil ringan. Kalau diri sendiri masih terumbang-ambing dengan peribadi yang kurang baik serta tak sedia galas tanggungjawab, berhentilah berangan-angan. Selagi tak dapat balas jasa ibu bapa, berhentilah berangan-angan. Selagi masih mengharapkan ihsan keluarga, berhentilah berangan-angan.


Dunia hari ini tak sama.


Semoga Allah mengatur yang terbaik untuk kita semua, Amin...